|      
 
 
 
 Pengikut-pengikut     jalan kerohanian Orang-orang yang mengikuti jalan kerohanian terbahagi kepada     dua bahagian atau golongan. Golongan pertama ialah yang termasuk ke dalam     kumpulan Sunnis; mereka yang mengikuti peraturan Quran dan amalan serta     peraturan yang berasal daripada kelakuan dan perbuatan Rasulullah s.a.w.     Mereka ikuti peraturan ini dalam perkataan, perbuatan, pemikiran dan     perasaan, dan mereka mengikuti maksud batin agama – iaitu mereka mengerti     bukan ikut secara taklid buta. Mereka beramal dan hidup menurut peraturan     agama, merasainya dan menikmatinya, bukan semata-mata menanggung sesuatu     yang dipaksakan ke atas mereka. Inilah jalan kerohanian yang mereka ikut.     Inilah persaudaraan hamba-hamba Allah yang berkasih sayang. Sebahagian     daripada mereka dijanjikan syurga tanpa hisab, yang lain akan menderita     sedikit azab hari kiamat dan kemudian masuk syurga. Namun ada juga     sebahagian yang memasuki neraka beberapa ketika yang singkat untuk     menyucikannya daripada dosa sebelum masuk syurga. Tiada yang akan kekal di     dalam neraka. Yang akan kekal di dalam neraka ialah orang kafir dan     munafik.  
 
 Golongan kedua terdiri daripada kumpulan-kumpulan yang     bidaah. Nabi s.a.w telah memberi peringatan, “ Kamu, seperti Bani Israil     sebelum kamu, seperti umat Isa anak Maryam, akan dibahagikan dan dipisahkan     di antara satu sama lain. Sebagaimana mereka mereka-reka dan mengubah-ubah,     kamu juga akan mengadakan bidaah. Dengan masa berlalu dalam bidaah,     tentangan dan dosa, kamu akan jadi seperti mereka dan berbuat yang sama.     Jika mereka masuk ke dalam lubang ular yang berbisa kamu juga akan     mengikuti mereka. Kamu patut tahu Bani Israil berpecah kepada tujuh puluh     satu kumpulan. Kesemuanya dalam kesesatan kecuali satu. Dan orang Nasrani     berpecah kepada tujuh puluh dua kumpulan, dan semuanya sesat kecuali satu.     Aku bimbang umatku akan dipecahkan kepada tujuh puluh tiga kumpulan. Ini     terjadi kerana mereka mengubah yang benar kepada yang salah dan yang haram     kepada yang halal menurut pertimbangan mereka sendiri, untuk muslihat dan     keuntungan mereka, kecuali satu, semua kumpulan itu akan ke neraka, dan     kumpulan yang satu itu akan selamat.”  
 
 Bila ditanya     siapakah yang satu diselamatkan itu baginda bersabda, “Mereka yang     mengikuti kepercayaan dan perbuatanku serta para sahabatku”.  
 
 Di bawah ini dinyatakan sebahagian daripada jalan bidaah yang     dipegang dan diikuti oleh orang-orang yang mengakui diri mereka orang     kerohanian:  
 
 Hululiyya – percaya     kepada penjelmaan dalam bentuk makhluk atau manusia, mendakwa halal melihat     tubuh dan wajah yang cantik, samada perempuan atau lelaki, siapa sahaja     samada isteri-isteri atau suami-suami, anak-anak perempuan atau     saudara-saudara perempuan orang lain. Mereka juga bercampur dan menari     bersama-sama. Ini jelas bertentangan dengan peraturan Islam dan menjaga     kesucian dan kehormatan di dalam peraturan tersebut.  
 
 Haliyya – mencari     kerasukan zauk dengan cara menari, menyanyi, menjerit dan bertepuk tangan.     Mereka mendakwa syeikh mereka berada dalam suasana yang mengatasi batasan     hukum agama. Jelas sekali mereka terpesung jauh daripada perjalanan Nabi     s.a.w yang dalam tindak tanduk mematuhi hukum agama.  
 
 Awliya’iyya – mendakwa     mereka berada dalam kehampiran dengan Allah dan mengatakan bila hamba     hampir dengan Tuhan semua kewajipan agama terangkat daripada mereka.     Seterusnya mereka mendakwa seorang wali, orang yang hampir dengan Allah,     menjadi sahabat akrab-Nya, mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada     nabi. Mereka mengatakan ilmu sampai kepada Rasulullah s.a.w melalui Jibrail     sementara wali menerima ilmu secara langsung dari Tuhan. Pandangan salah     tentang suasana mereka dan apa yang mereka sifatkan kepada diri mereka     adalah dosa mereka yang paling besar yang membawa mereka kepada bidaah dan     kekufuran.  
 
 Syamuraniyya – percaya     dunia ini kekal abadi, dan sesiapa yang mengucapkan perkataan abadi akan     terlepas daripada tuntutan agama, lagi mereka tidak ada hukum halal dan     haram. Mereka menggunakan alat musik dalam upacara ibadat mereka. Mereka     tidak memisahkan lelaki dengan perempuan. Mereka tidak membezakan dua     jantina itu. Mereka adalah kumpulan kafir yang tidak boleh diperbetulkan     lagi.  
 
 Hubiyya – mengatakan     bila manusia sampai ke peringkat cinta mereka bebas daripada semua     kewajipan agama. Mereka tidak menutup kemaluan mereka.  
 
 Huriyya – seperti Haliyya, enggan menjerit, menyanyi, menari     dan bertepuk tangan, mereka menjadi kerasukan dan di dalam suasana     kerasukan itu mereka mendakwa mengadakan hubungan jenis dengan bidadari;     bila keluar dari kerasukan mereka mandi junub. Mereka dimusnahkan oleh     pembohongan mereka sendiri.  
 
 Ibahiyya – enggan     mengajak kepada kebaikan dan melarang kemungkaran. Mereka menghukumkan     haram sebagai halal. Mereka memahatkan pendapat ini kepada kaum perempuan.     Bagi mereka semua perempuan halal bagi semua lelaki.  
 
 Mutakasiliyya – menjadikan     prinsip kemalasan dan meminta sedekah dari rumah ke rumah sebagai cara     mendapatkan keperluan harian mereka. Mereka mendakwa telah meninggalkan     segala hal ehwal dunia. Mereka gagal dan terus gagal di dalam kemalasan     mereka.  
 
 Mutajahiliyya –     berpura-pura jahil dan dengan sengaja berpakaian tidak sopan, cuba     menunjukkan dan berkelakuan seperti orang kafir, sedangkan Allah berfirman,     “Jangan cenderung kepada yang berbuat dosa”. (Surah Hud, ayat 113). Nabi     s.a.w bersabda, “Sesiapa yang cuba berlagak seperti satu kaum dia dianggap     salah seorang dari mereka”.  
 
 Wafiqiyya – mendakwa     hanya Allah yang boleh kenal Allah. Jadi, mereka membuang jalan kebenaran.     Kejahilan yang disengajakan membawa mereka kepada kemusnahan.  
 
 Ilhamiyya – berpegang     dan mengharapkan kepada ilham, meninggalkan ilmu pengetahuan, melarang     belajar, dan berkata Quran adalah hijab bagi mereka, dan fikiran puisi     adalah Quran mereka. Mereka meninggalkan Quran dan sembahyang, sebaliknya     mengajarkan anak-anak mereka puisi.  
 
 Pemimpin-pemimpin dan guru-guru dari kumpulan Sunni     mengatakan para sahabat, dengan berkat kehadiran Rasulullah s.a.w di     tengah-tengah mereka, berada dalam suasana zauk dan keghairahan kerohanian     yang sangat tinggi. Pada zaman kemudian peringkat kerohanian yang demikian     tidak tercapai lagi oleh orang ramai dan ia menjadi semakin hilang. Yang     masih tinggal diturunkan kepada pewaris-pewaris kerohanian pada jalan     kebenaran Ilahi, yang kemudiannya terbahagi kepada banyak cabang-cabang. Ia     berpecah kepada terlalu banyak kumpulan sehingga kebijaksanaan dan     tenaganya menjadi sangat berkurangan dan berselerak. Dalam banyak kes     segala yang tinggal hanyalah rupa yang dibaluti oleh pakaian guru     kerohanian tanpa sebarang makna, kekuatan dan tenaga di bawah pakaian     tersebut. Walaupun dalam suasana kosong itu ia masih juga berpecah dan     berganda, bertukar menjadi bidaah. Sebahagian menjadi Qalandari – peminta     sedekah yang mengembara. Yang lain menjadi Haydari dan berpura-pura menjadi     wira. Yang lain pula menamakan diri mereka Adhami  dan berpura-pura mengikuti wali Allah     Ibrahim Adham yang meninggalkan takhta kerajaan dunia ini. Masih ramai lagi     yang lain.  
 
 Dalam zaman kita mereka yang mengikuti jalan kebenaran sesuai     dengan hukum agama menjadi semakin berkurangan. Pengikut-pengikut yang     benar pada jalan ini boleh dikenali melalui dua kenyataan. Pertama,     kenyataan zahir, yang menunjukkan keadaan kehidupan harian mereka yang     dibentengi oleh hukum dan amalan agama. Kedua kenyataan dalaman, contoh     teladan yang si pencari itu ikuti dan lahirkan dan dengan apa yang dia     dibimbingkan. Sesungguhnya tiada yang lain untuk diikuti melainkan Nabi     Muhamamd s.a.w, yang menjadi teladan, yang pada satu masa dahulu baginda     sendiri berada dalam suasana mencari dan kebenaranlah yang baginda cari.     Tanpa ragu-ragu roh suci baginda sahaja yang menjadi perantaraan. Itulah     undang-undang yang mesti dipatuhi oleh orang yang beriman bagi penerusan     kehidupan agama dalam kehidupan. Cara lain, wali yang memiliki pesaka     kerohanian Nabi s.a.w boleh memberkati si pencari dengan kewujudan     kebendaannya. Sesungguhnya syaitan tidak boleh mengambil rupa Nabi s.a.w.  
 
 Waspadalah wahai pengembara pada jalan kerohanian, orang buta     tidak boleh memimpin orang buta. Perhatian kamu mesti bersungguh-sungguh     agar kamu dapat membezakan kebaikan yang paling kecil daripada kejahatan     yang paling kecil.  
 
  |    
Posting Komentar
Posting Komentar