|      
 
 Habib Alwi bin     Thahir Al-Haddad, Penulis Hebat, Sejarawan dan Mufti Johor 
 
 Jika berbicara     tentang sesuatu persoalan, beliau memaparkan segala seginya dan     menguatkannya dengan dalil-dalil aqli dan naqli. Beliau seorang yang     memiliki ghirah (kecemburuan) terhadap Islam dan menjadi pembelanya. Di     samping itu, beliau juga pembela keluarga Rasulullah SAW. aktif berhubungan     dengan para ahli ilmu di berbagai tempat di seluruh dunia Islam, dan selalu     menghindari pertentangan-pertentangan mazhab. 
 
 Nama lengkapnya     ialah Habib Alwi bin Thahir Al-Haddad bin Abdullah bin Thaha Abdullah bin     Umar bin Alwi bin Muhammad bin Alwi bin Ahmad bin Abi Bakar Abu Thahir     Al-Alawi asy-Syarif al-Huseini. Sampai nasabnya kepada Sayidina Ali bin Abi     Thalib yang kahwin dengan Sayidatina Fatimah binti Nabi Muhammad SAW. Habib     Alwi bin Thahir Al-Haddad lahir di Bandar Qaidun, Hadhramaut, Yaman pada 14     Syawal 1301 H/ 7 Ogos 1884 M. 
 
 Pendidikannya 
 
 Habib Alwi bin     Thahir Al-Haddad sedari kecil telah bercita-cita menjadi ulama. Ini didukung     oleh kecerdasan dan keteguhannya dalam menuntut ilmu, dan selalu menyertai     ulama-ulama besar sehingga dapat mencapai puncak keilmuannya dan     menghimpunkan berbagai ilmu naqli dan aqli yang membuatnya melebihi     rekan-rekan seangkatannya. Bahkan, Sayid Alwi mampu melakukan istinbat dan     ijtihad yang cermat dan tidak dapat dicapai oleh sebagian orang. 
 
 Guru-gurunya di     Hadhramaut ialah Habib Ahmad bin al-Hasan al-Attas al-Alawi, Habib Thahir     bin Umar al-Haddad, dan Habib Muhammad bin Thahir al-Haddad. Banyak bidang     ilmu tradisi yang beliau peroleh daripada keluarganya sendiri yang     berketurunan Nabi Muhammad SAW. 
 
 Sayid Alwi sangat     menggemari pelajaran Hadits. Berkali-kali Sayid Alwi al-Haddad menamatkan     kitab As-Sittah, Riyadh ash-Shalihin, Bulugh al-Maram, Jami’ ash-Shaghir.     Untuk memperdalam ilmu hadits Sayid Alwi al-Haddad mempelajari kitab-kitab     mengenai sanad hadits seperti ad-Dhawabidh al-Jaliyah fi al-Asanid     al-‘Aliyah karya Syeikh al-Allamah al-Musnid Syamsuddin Abdullah bin Fathi     al-Farghali al-Hamisyi. Demikian juga kitab ats-tsabat yang berjudul     as-Samth al-Majid karya Syeikh al-Allamah al-Musnid Shafiyuddin Ahmad bin     Muhammad al-Qasyasy al-Madani. Sayid Alwi al-Haddad telah berhasil     memperoleh ilmu dan ijazah daripada para gurunya serta dengan sanad-sanad     yang bersambung sampai Rasulullah SAW. 
 
 Selain guru     tersebut, Sayid Alwi al-Haddad juga memperoleh ilmu daripada ayah     saudaranya Imam Habib Abdullah bin Thaha al-Haddad, juga dengan Habib     Thahir bin Abi Bakri al-Haddad. Guru-guru beliau yang lain adalah     al-Mu’ammar Sirajuddin Umar bin Utsman bin Muhammad Ba Utsman al-Amudi     ash-Shiddiqi al-Bakari. Sayid Alwi al-Haddad juga sempat mendengar riwayat     hadits dari Sayid ‘Abdur Rahman bin Sulaiman al-Ahdal yang wafat tahun 1250     H/1834 M. 
 
 Diriwayatkan bahawa     Sayid Alwi al-Haddad ialah seorang yang sangat cergas. Sedikit saja belajar     namun penguasaan akan ilmu pengetahuannya langsung meningkat. Pada umur 12     tahun, Sayid Alwi al-Haddad menghatamkan Ihya ‘Ulumidin karya Imam     al-Ghazali. Dalam usia 17 tahun ia telah mengajar dan mengajar kitab yang     besar-besar dan ilmu yang berat-berat seperti ilmu tafsir, hadits, fiqh,     usul fiqh, tarikh, falak, nahwu, shorof, balaghah, filsafat dan tasawuf. 
 
 Beliau juga memiliki     karangan-karangan yang banyak dan kajian-kajian di berbagai surat kabar     dalam bermacam-macam persoalan kemasyarakatan, politik, aqidah, sejarah dan     fatwa yang mencapai 13000 masalah. 
 
 Sebagai ulama dan     mufti, ia kerap diminta untuk berpidato dan memberikan ceramah pada     pertemuan-pertemuan umum. Ceramah yang disampaikannya di depan Jong     Islamieten Bond (Perkumpulan Pemuda Muslimin) telah diterbitkan dalam dua     bahasa: Indonesia dan Arab. Pemimpin Sarekat Islam yang terkenal, Haji     Oemar Said Cokroaminoto sering berhubungan dengannya. Ketika dia sedang mengarang     buku tentang sejarah Nabi dalam bahasa Indonesia, dia menunjukkan kepada     Sayid Alwi yang kemudian memeriksanya dan memberikan kata pengantar untuk     buku itu. Pertama kali buku itu dapat diterbitkan atas biaya seorang     dermawan dan kemudian buku itu dapat diterbitkan untuk yang kedua kalinya. 
 
 Karya-Karyanya 
 
 Sayid Alwi memiliki     karangan-karangan yang banyak yang akan kami sebutkan berikut ini agar     dapat diketahui betapa luas pengetahuannya. Beberapa diantara karangannya     adalah: 
 
 1. Anwar al-Quran     al- Mahiyah li Talamat Mutanabi’ Qadyani (dua jilid). 2. Al-Qaul al-Fashl     fi ma li al-Arab wa Bani Hasyim min al-Fadhal. Kitab ini terdiri daripada     dua jilid. Kandungannya merupakan sanggahan terhadap fahaman pembaharuan     Islam yang dibawa oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad as-Surkati as-Sudani. 3. Al-Khulashah     al-Wafiyah fi al-Asanid al-’Aliyah. Kitab ini menggunakan nama keseluruhan     guru Saiyid Alwi al-Haddad tentang qiraat dan ijazah. 4. ‘Iqd al-Yaqut fi     Tarikh Hadhramaut. 5. Kitab as-Sirah     an-Nabawiyah asy-Syarifah. 6. Dalil Khaidh fi     ‘Ilm al-Faraidh. 7. Thabaqat     al-’Alawiyin (sepuluh jilid). 8. Mu’jam     asy-Syuyukh. 9. ‘Uqud al-Almas bi     Manaqib al-Habib Ahmad bin Hasan al-’Athas. 10. Kumpulan Fatwa     (berisi sekitar 12000 fatwa) 11. Kitab tentang     hukum-hukum nikah dan qadha dalam bahasa Melayu (diterbitkan dalam dua     jilid) 
 
 Sekiranya kita     sempat membaca keseluruhan karya Saiyid Alwi al-Haddad yang tersebut di     atas, dapat disimpulkan bahawa sangat luas pengetahuan yang beliau     bahaskan. Saiyid Alwi al-Haddad diakui sebagai seorang tokoh besar dalam     bidang sejarah, ahli dalam bidang ilmu rijal al-hadis. 
 
 Lebih khusus lagi     sangat mahir tentang cabang-cabang keturunan ‘al-’Alawiyin’ atau keturunan     Nabi Muhammad s.a.w.. Setahu saya memang tidak ramai ulama yang     berkemampuan membicarakan perkara ini selain Saiyid Alwi al-Haddad. Boleh     dikatakan tidak ada ulama dunia Melayu menulisnya secara lengkap. Sekiranya     ada juga ia dilakukan oleh orang Arab keturunan Nabi Muhammad s.a.w.     seperti yang pernah dilakukan Saiyid Utsman bin Abdullah bin Aqil bin Yahya     al-Alawi, Mufti Betawi. 
 
 Saiyid Alwi     al-Haddad ialah seorang ulama yang berpendirian keras dan tegas     mempertahankan hukum syarak. Gaya berhujah dan penulisan banyak persamaan     dengan yang pernah dilakukan oleh Saiyid Utsman bin Abdullah bin Aqil bin     Yahya al-Alawi, Mufti Betawi. Saiyid Alwi al-Haddad selain menyanggah     pendapat dan pegangan Syeikh Ahmad bin Muhammad as-Surkati yang lebih keras     dibantahnya ialah A. Hassan bin Ahmad Bandung. 
 
 Bukan Saiyid Alwi     al-Haddad saja yang menolak pegangan A. Hassan bin Ahmad Bandung tetapi     perkara yang sama juga pernah dilakukan oleh Haji Abu Bakar bin Haji Hasan     Muar. Sanggahan Haji Abu Bakar Muar terhadap A. Hassan Bandung berjudul     Majlis Uraian Muar-Johor. Di bawahnya dijelaskan judul, “Pada menjawab dan     membatalkan Al-Fatwa pengarang Persatuan Islam Bandung yang mengatakan babi     itu najis dimakan bukan najis disentuh dan mulut anjing pun belum tentu     najisnya.” Sebenarnya apabila kita meninjau sejarah pergolakan Kaum Tua dan     Kaum Muda dalam tahun 1930-an itu dapat disimpulkan bahawa semua golongan     ‘Kaum Tua’ menolak pemikiran A. Hassan Bandung itu khususnya Kerajaan Johor     yang muftinya ketika itu Saiyid Alwi al-Haddad yang mengharamkan     karya-karya A. Hassan Bandung di Johor. Mengembara 
 
 Sayid Alwi al-Haddad     mengembara ke pelbagai negara untuk berdakwah dan mengajar, di antaranya     Somalia, Kenya, Mekah, Indonesia, Malaysia dan lain-lain. Di Jakarta, Sayid     Alwi al-Haddad pernah mengajar di Madrasah Jam’iyah al-Khair yang didirikan     oleh keturunan Sayid di Indonesia. Madrasah Jam’iyah al-Khair ialah sekolah     Islam yang mengikut sistem pendidikan moden yang pertama di Indonesia,     Sayid Alwi al-Haddad pula termasuk salah seorang guru yang pertama sekolah.     Jabatan pertama Sayid Alwi adalah Wakil Mudir sekolah. Sementara itu,     Mudirnya ialah Sayid Umar bin Saqaf as-Saqaf. 
 
 Para guru     didatangkan dari pelbagai negara. Antara mereka ialah Ustadz Hasyimi yang     berasal dari Tunis, Syeikh Ahmad bin Muhammad as-Surkati yang berasal dari     Sudan (mengajar di Madrasah Jam’iyah al-Khair tahun 1911 - 1914), Syeikh     Muhammad Thaiyib al-Maghribi yang berasal dari Maghribi, Syeikh Muhammad     Abdul Hamid yang berasal dari Mekah. 
 
 Sayid Alwi bin     Thahir termasuk salah seorang pendiri ar-Rabithah al-Alawiyyah di     Indonesia. Selain mengajar di Jakarta beliau juga pernah mengajar di Bogor     dan tempat-tempat lain di Jawa. 
 
 Murid-Muridnya 
 
 Muridnya sangat     ramai. Antara tokoh dan ulama besar yang pernah menjadi murid Saiyid Alwi     al-Haddad ialah: 
 
 1. Saiyid Alwi bin     Syaikh Bilfaqih al-Alawi. 2. Saiyid Alwi bin     Abbas al-Maliki. 3. Saiyid Salim Aali     Jindan. 4. Saiyid Abu Bakar     al-Habsyi 5. Saiyid Muhammad     bin Ahmad al-Haddad. 7. Saiyid Abdullah     bin Abdul Qadir Bilfaqih. 8. Saiyid Husein bin     Abdullah bin Husein al-Attas. 9. Syeikh Hasan     Muhammad al-Masyath al-Makki. 10. Kiyai Haji     Abdullah bin Nuh. Menjadi Mufti Johor 
 
 Akhirnya Kesultanan     Johor di Malaysia memilihnya untuk menjabat sebagai mufti di sana. Beliau     menjabat sebagai mufti Kerajaan Johor dari tahun 1934 hingga tahun 1961.     Sayid Alwi menjadi mufti Johor menggantikan Allahyarham Dato’ Sayid Abdul     Qader bin Mohsen Al-Attas. 
 
 Wafatnya 
 
 Beliau wafat pada 14     November 1962 (1382 H) dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Mahmoodiah Johor     Bahru. Beliau mempunyai keturunan yang kemudian pindah ke Jazirah Arab     bahagian selatan, di antaranya adalah puteranya Sayid Thahir dan Sayid     Hamid. 
 
 
 
  |    
Posting Komentar
Posting Komentar