-->

Teratai Terbesar Di Dunia

Jauh di dalam hutan hujan Amazon tersembunyi aneka ragam misteri yang sukar dimengertikan. Salah satu perkara membingungkan kebanyakan ahli botani ialah penemuan sejenis tumbuhan tropika yang sangat menakjubkan iaitu Victoria Amazonica. 

Victoria Amazonica - dikenali sebagai pokok teratai daripada spesis Nymphaeceae ini memiliki daun yang sangat besar. Berbentuk bulat dan diameter daunnya boleh membesar sehingga lebih daripada tiga (3) meter. 

Setiap bahagian bibir daun kelihatan lekuk-lekuk dan pada lekukan tersebut terbentuk dua takuk di bibir daun. Ia seakan-akan muncung cerek dan berfungsi untuk mengalirkan air hujan yang bertakung di atasnya. Anggaran berat setiap daun mencecah sehingga 31 kilogram (kg). 

Kebolehannya mengapung di atas air disebabkan oleh struktur anatomi daun ini. Jika diterbalikkan, akan kelihatan jaluran berwarna putih seperti sarang labah-labah memenuhi setiap ruang bawah daun. Ia berfungsi seolah-olah seperti tulang rusuk. Ia berongga dan mempunyai kemampuan yang sangat tinggi untuk memerangkap udara. Udara yang terperangkap dalam ruang antara tulang rusuk membolehkan daun ini terapung cantik di atas permukaan air.


Batangnya tenggelam dalam air dan panjangnya boleh mencecah antara tujuh (7) hingga lapan (8) meter. Terdapat duri tajam meliputi bawah daun, batang dan tunas bunga bagi melindungi daripada dimakan haiwan seperti ikan. Namun begitu, di sebalik saiz daun yang sangat besar ini, ia sebenarnya sangatlah rapuh. Daun ini mudah bocor atau terkoyak jika tercucuk. Ketahanan daun Victoria matang boleh menyokong beban sebanyak 45 kilogram (kg). 

Pada awal penemuannya, tumbuhan ini diberi nama Victoria bersempena nama Ratu England pada masa itu. Ia juga turut dikenali sebagai "piring air gergasi'. 

Teratai ini merupakan spesis semulajadi bersaiz besar tanpa melalui proses penghibridan. Ia merupakan daripada benih asal tanpa mengalami sebarang proses kacukan. Hasil kajian mendapati bahawa rahsia tumbesaran gergasi teratai ini terletak pada kitaran hidupnya. Ia bermula sejak proses pendebungaan lagi.


Bunga-bunga Victoria akan mengeluarkan aroma buah seperti nanas pada waktu siang. Bauan manis ini adalah untuk menarik kumbang mendekati bunga pokok teratai ini.

Apabila menjelang waktu malam, bunga akan tertutup, dan kumbang yang mendekati bunga akan terperangkap di dalam bunga. Bunga ini didebungakan oleh kumbang. Lazimnya pada satu musim, setiap pokok bakal menghasilkan 40 hingga 50 daun dan setiap daun akan membesar lebih daripada lapan (8) inci diameternya setiap hari. Diameternya terus membesar sehingga mencapai lebih daripada tiga (3) meter.

Sumber : Planetarium Terengganu

Posting Komentar

Subscribe Our Newsletter